KENAPA
SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 43)
HIBAH ~ KAEDAH TERBAIK ELAK HARTA
DIBEKUKAN?
Salam sahabat yang dikasihi. Apa
khabar hari ini? Moga anda semua berada di dalam rahmat Allah serta diberi
perlindungan sepanjang masa serta dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan
hidup yang penuh dengan macam-macam bentuk cabaran… Ameen!
Alhamdulillah…Allah
masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….dan kita
sudahpun memasuki hari ke sembilan bulan Sya’ban menandakan tidak lama lagi
kita sama-sama akan menyambut ‘ Ramadhan
Al Mubarak. Moga Allah terus beri kita
peluang dan ruang untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita
kepadaNya. Ameen!
Salam sahabat semua. Dalam Part
ke 43 ini saya nak kongsi dengan anda satu kaedah terbaik yang patut anda lakukan terhadap insan yang amat anda
kasihi iaitu isteri dan juga anak-anak anda. Apa yang saya maksudkan di sini
ialah hibah. Hibah secara umumnya adalah hadiah atau pemberian yang anda
berikan kepada sesiapa saja samada kaum kerabat anda sendiri atau orang lain.
Hibah boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah dan cara. Para ulama’ mentakrifkan
hibah dari sudut bahasanya sebagai satu bentuk
pemberian tidak kira sama ada dalam bentuk ain (material) atau manafaat. Dari sudut syara’ pula, hibah
ditakrifkan sebagai satu akad
pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain dengan cara
sukarela semasa hayatnya tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan atau disebut dalam bahasa Arabnya sebagai
‘iwad’.
Jadi kalau kita tengok kepada takrifan ini, kita boleh katakan, hibah boleh
berlaku dalam berbagai bentuk asal saja ianya adalah pemberian yang tidak
mempunyai maksud terselindung umpama ‘udang di sebalik batu’.
Melakukan hibah dengan ikhlas,
walaupun kepada anak dan isteri adalah satu ‘ibadah’ dan amat digalakkan di
dalam Islam. Justeru, usah rasa rugi bila memberikan sesuatu buat orang yang
kita sayang. Usah fikir sangat apa yang akan dibuat dengan wang yang kita
berikan sebagai hibah. Serahkanlah kepada kebijaksanaan mereka macamana nak
guna duit itu. Walaubagaimanapun, sebagai se orang bapa atau suami anda perlu
memberi peringatan kepada mereka supaya guna duit hibah yang ditinggalkan tanpa
pembaziran dan digunakan di tempat-tempat yang Allah redha. Bukan apa. kalau mereka
guna duit untuk kebaikan, maka anda akan terus menerus mendapat ganjaran pahala
dari Allah s.w.t insya Allah.
Ada suami yang takut nak hibahkan
harta dan wang kepada isteri sebab takut nanti bila dia mati maka isterinya
jadi janda kaya dan akan berebut-rebutlah lelaki di luar sana untuk berkahwin
dengan bekas isterinya. Ini cara berfikir yang kolot! Usah fikir apa yang
isteri lakukan sebab sebaik saja anda berikan sesuatu kepadanya, maka anda
sudah dapat pahala dari Allah. Fikirlah, macamana anda nak hidup dalam kubur
nanti. Itu adalah lebih baik bagi anda.

Hibah ni hukumnya sunat. Maksudnya
kalau buat dapat pahala. Memang pahala ‘tak penting’ untuk hidup di dunia. Anda
akan tahu dan rasa pentingnya pahala bila anda berada di atas titian siratal Mustaqim.
Bila anda terhoyong hayang melintasi titian sirat kerana amalan yang kurang dan
dosa pulak bertimbun-timbun macam timbunan sampah sarap di tempat pembuangan
sampah yang tidak dikutip bertahun-tahun lamanya, maka di sini anda amat-amat berharap
kepada pahala dan amalan-amalan baik kerana pada saat genting ini tiada lagi
yang berharga buat anda. Emas perak, wang dan permata sudah tiada ertinya. Jadi
jangan perlekehkan pahala sebab nanti anda amat-amat memerlukannya. Pahala umpama
titisan air di padang pasir yang kontang. Kalau di rumah, anda tak kisah walaupun
membazir bergelen-gelen air, tapi saat anda berada di padang pasir tandus yang panas terik bak
neraka, satu titis air anda rasakan
begitu berharga sekali.
Selain dari ganjaran pahala yang
kita harapkan, hibah juga mampu mengeratkan hubungan antara pemberi dan
penerima hibah. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Berilah hibah, kerana dari hibah
itu akan terhasilnya kasih sayang”.
Hadith ini dengan jelas
menggambarkan kepada kita bahawa salah satu kaedah untuk rapatkan hubungan kita
dengan seseorang ialah dengan memberi Hadiah atau hibah. Ini kerana manusia
secara umumnya suka benda ‘free’ walaupun dia se orang yang kaya raya. Bila beri
sesuatu kepada seseorang, pasti terpancar di wajahnya cahaya kegembiraan. Ayah apabila berikan hadiah kepada
anaknya, maka anak pastinya akan lebih menyayanginya. Tapi dalam bab memberi hadiah
ini, ibu bapa perlu juga rasional. Usah berikan kepada anak anda suatu yang
tidak sepatutnya sebelum sampai masanya yang sesuai. Usah beri suatu yang
membawa mudharat kepada mereka. Memberikan kereta atau motosikal kepada anak
sebagai hibah di kala usianya masih terlalu muda dan masih belum boleh memiliki
lesen adalah hibah yang ‘kurang bijak’ dari ibu bapa.
Suami apabila membelikan rantai
atau gelang emas kepada isteri tercinta, pastinya hubungan mereka semakin
mantap. Hibah pencetus kasih sayang. Begitu juga bila isteri sekali sekala
menghibahkan suatu kepada suaminya, maka suaminya pasti akan tersenyum lebar. Sama
juga jika hibah ini berlaku di kalangan orang luar yang bukan dari kalangan
keluarga sendiri. Ianya juga memberi impak yang amat besar dalam hubungan
antara mereka.
Jadilah orang yang suka memberi dari orang
suka meminta. Nabi s.a.w bersabda di dalam satu hadith yang bermaksud: “Tangan
di atas (yang memberi) adalah lebih baik dari tangan yang di bawah (yang
menerima)”.
Mungkin ramai di kalangan anda
semua yang sudah melakukannya tanpa disedari bahawa apa yang anda lakukan sebenarnya
adalah hibah. Sebagai contoh, mungkin ada antara anda yang bukakan akaun tabung
haji atau simpanan untuk anak-anak sejak dari awal usia lagi. Ini sebenarnya
salah satu dari bentuk hibah walaupun anda tidak berniat semasa membuka akaun
tersebut sebagai hibah. Ada yang menyediakan plan takaful untuk setiap anak dan isteri. Ini juga boleh
dikira sebagai hibah.
Namun untuk menjadikan satu-satu
pemberian itu boleh dianggap hibah, maka nak kena ikut dulu syarat-syarat dan
rukun-rukunnya. Antara rukun dan syarat yang mesti
di dipenuhi semasa melakukan hibah ialah:
1)
Pemberi hibah (al-wahib)
Pemberi hibah mestilah se orang yang layak
atau mempunyai ahliyyah yang sempurna. Pemberi hibah mestilah seorang wang
berakal, baligh dan juga mampu menguruskan harta dengan baik yang disebut dalam
istilah Arabnya sebagai ‘rusyd’.
2) Penerima hibah (al-mauhub lahu)
Penerima hibah mestilah se orang yang ada kemampuan
untuk memiliki harta iaitu se orang yang
mukallaf iaitu yang sudah aqil dan
baligh. Tapi kanak-kanak yang belum baligh masih boleh menerima hibah tetapi
hibah itu mestilah diserahkan kepada wali atau penjaganya yang bertindak
sebagai trustee atau pemegang amanah.
3. Harta yang dihibahkan (al-mauhub)
Harta
yang hendak dihibahkan itu mestilah suatu yang halal dan bernilai di sisi
syarak. Maksudnya barang-barang tidak bernilai dari sudut hukum syara’ seperti alat-alat muzik sebagai contoh, mengikut
pandangan ulama’ alat-alat tersebut tidak boleh dikira sebagai
hibah. Begitu juga jika suatu yang hendak dihibahkan itu suatu yang haram
seperti arak, dadah atau sebagainya. Maka ini tidak sah dijadikan hibah.
4. Lafaz
ijab dan Qabul (sighah)
Hibah
sama macam pernikahan dan lain-lain urusan muamalat dalam Islam. Perlu ada lafaz
ijab dan Qabul. Ijab bermaksud satu bentuk tawaran yang mana pemberi hibah akan
menyebut semasa memberikan hibah dengan lafaz “aku hibahkan kereta ini kepada
kamu”. Lalu penerima hibah berkata “aku terima hibah tersebut”. Sebaik
sempurnanya lafaz ijab dan qabul ini maka, kereta yang dihebahkan itu akan
bertukar hak milik dari pemberi hibah kepada penerima hibah.
Boleh tak nak cancel hibah?
Soalan yang menarik untuk
dikongsi. Mungkin ada di antara kita yang ada pengalaman ni. Dah bagi, lepastu menyesal
dan nak cancel. Boleh ker? Ulama tak sekata dalam hukum penarikan balik hibah. Kalau ikut mazhab Hanafi, makruh kalau tarik balik hibah yang telah diberikan. Mengikut
mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian
fuqaha’ mazhab Maliki pula, mereka berpendapat boleh tarik balik kalau harta
atau barang yang dihebahkan itu belum diserahkan. Kalau diserahkan, maka sudah
tidak boleh ditarik balik kecuali jika hibah tu diberikan oleh ‘usul (ayah, ibu,
atuk, nenek dan ke atas) kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah). Imam Ahmad dan
mazhab Zahiri, pulak mengatakan haram tarik balik hibah kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek
dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang menarik balik hibahnya sama
seperti anjing yang memakan balik muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Nak pilih
pendapat mana? Pilihlah yang mana pun kisah. Pandangan ulama’ berdasarkan hujah
mereka masing. Tidak salah ambil mana-mana pandangan. Saya sendiri cenderung
kepada padangan jumhur atau majority ulama termasuk Imam Syafie, Hanbali dan
sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki yang memboleh hibah ditarik balik jika pemberi
hibah itu di kalangan ayah, atuk, ibu,
nenek yang memberikan hibah kepada anak atau cucu mereka kerana jika mereka
tidak dapat hibah, mereka masih lagi ada peluang untuk dapat harta pusaka bila
ayah atau ibu mereka meninggal dunia.
Apa
Istimewanya Hibah?
Hibah ada
banyak sekali keistimewaannya. Antaranya ialah:
1. Pemberian hibah tidak terhad kepada kumpulan tertentu sahaja. Berbeza
dengan faraid yang hanya boleh diberikan kepada waris-waris yang layak sahaja. Hibah juga berbeza dengan wasiat kerana dalam
wasiat tidak boleh diwasiatkan harta kepada waris kecuali atas persetujuan ahli
waris yang lain.
2.Kadar pemberian hibah juga tidak terhad
kepada jumlah tertentu. Berbeza dengan wasiat kerana dalam wasiat, harta yang
diwasiatkan tidak boleh lebih dari satu pertiga dari harta pusaka bersih dan
faraid mengikut kadar-kadar yang telah
ditetapkan oleh Islam.
3. Pemberi hibah mempunyai kebebasan
sepenuhnya untuk tetapkan kepada siapa harta itu hendak dihibahkan mengikut pertimbangannya.
Sebagai contoh, se orang ayah ada RM100,000 di dalam akaun simpanananya dan dia
mahu hibahkan wang tersebut kepada anak-anaknya dan juga isterinya. Jadi dia
boleh bagi lebih kepada anak-anak yang masih belum bekerja dan hanya sedikit
yang sudah bekerja. Berbanding dengan faraid, kedudukan ekonomi se seorang
waris tidak langsung diambil kira.
Demikianlah serba sedikit
perkongsian tentang kehebatan hibah sebagai salah satu dari langkah perancangan
kewangan Islam. Moga ada manafaatnya Insya Allah.
Wassalam.
Bersambung….
Artikel ini boleh juga dibaca di
–www.drnikrahim.com-
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 16 Mei 2016 / 9 Sya’ban 1437
#kstjj