Tuesday, April 14, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Masa Terbaik Berjinak dengan Penulisan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):
 Masa Terbaik Berjinak dengan Penulisan
Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com



Ramai pelajar saya berkata mereka tidak mempunyai bakat untuk menulis apabila diminta untuk menghantar karya penulisan mereka sebagai salah satu aktiviti masa lapang semasa PKP. Saya berjanji untuk memberikan mereka hadiah sebagai galakan untuk mereka menulis. Namun karya yang diharapkan tetap tidak kunjung tiba. 

Saya tidak pasti sama ada kata-kata bahawa mereka tidak mempunyai bakat itu suatu realiti atau satu alasan yang sengaja dicipta untuk mengelakkan diri dari membuat komitmen untuk menulis.

Hakikatnya menulis tidak sepayah yang dibayangkan oleh ramai orang. Anak-anak saya di usia semuda 9 tahun sudah saya latih untuk menulis dan kini sudah hampir menyiapkan buku cerita kanak-kanaknya. 



Isteri saya sebelum ini juga tidak pernah menulis namun kini beliau sudah hampir menyiapkan buku berkaitan kaedah berkesan untuk menurunkan berat badan tanpa perlu berlapar. 


Salah se orang anak perempuan saya yang juga tidak pernah menulis dan menerbitkan apa-apa buku sebelum ini juga sedang menyiapkan buku cerita kanak-kanak dengan berbagai topik menarik. 



Irfan Hafiz, se orang pemuda cacat yang berasal dari Sri Lanka, hanya menggunakan satu jari sambil berbaring di atas katil untuk menulis dan beliau telah berjaya menerbitkan 3 buah buku dalam bahasa Inggeris sebelum beliau dijemput oleh Yang Maha Pencipta.

Saya kongsikan ini semua adalah bertujuan untuk menggambarkan hakikat sebenar tentang penulisan. Menulis sebenarnya tidak begitu sukar asal saja kita mahu untuk mencuba. Kita tidak perlu menjadi profesor atau sarjana, atau berkelulusan tinggi untuk menulis. 

Semua orang boleh menulis.  Tidak perlu dirisaukan sangat tentang lenggok bahasa serta istilah-istilah yang terlalu akademik kerana kita bukan penulis profesional yang tulisan mereka dibaca oleh ramai orang di seluruh dunia. Tulislah mengikut tahap dan kemampuan kita. Tulislah sesuatu yang kita sukai kerana akan ada di luar sana orang yang suka membaca karya penulisan kita.



Tulislah agar kita ada sesuatu yang berharga untuk tatapan anak cucu kita di masa akan datang. Tulislah kerana tulisan kita mungkin mampu membawa sinar kegembiraan buat mereka yang berduka lara, membuat orang lain bangkit dari kegagalan, membuat orang lain tersenyum gembira bahkan mungkin tulisan kita mampu mengubah dunia. Nabi SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, anak soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat”
Hadith riwayat Muslim.

Menulis termasuk dalam kategori ilmu yang bermanfaat.
Menulis sebenarnya boleh dijadikan terapi kepada jiwa yang kebosanan akibat PKP. Menjadi penulis menyebabkan kita sering berfikir mencari ilham dan ini akan menjadikan kita  khusyuk dan masa terasa begitu pantas berlalu berbanding mereka yang tidak melakukan apa-apa selain termenung dan membuang masa dengan sia-sia.

Hari ini penulisan menjadi sangat mudah kerana segala maklumat yang kita perlukan berada di hujung jari. Jika anda se orang pelajar, tulislah tentang pengalaman pahit dan manis semasa mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah atau universiti. 



Jika anda se orang yang sudah bekerja, kongsikanlah peristiwa-peristiwa yang mencuit hati sejak anda mula bekerja hingga kini. Jika anda sudah pencen, curahkan segala pengalaman-pengalaman bekerja puluhan tahun untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada mereka yang baru melangkahkan kaki  ke alam pekerjaan. 

Jika anda se orang suri rumah dan anda  minat memasak, tulislah tentang masakan dan carilah maklumat tambahan melalui internet. Mudahkan? 
Usah berlengah lagi. Guna masa PKP ini sebagai langkah awal untuk menjadi penulis tersohor suatu masa nanti. Jika bukan sekarang bila lagi? Jika bukan kita, siapa lagi?



Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Bila PKP Disambung lagi

Bila PKP disambung Lagi
Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Rata-rata sudah menjangkakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan lagi. Ini adalah kali kedua PKP dilanjutkan setelah lanjutan pertama yang dibuat sebelum ini yang akan berakhir pada 14.4.2020 ini. Ini kerana masih terdapat ratusan kes baru dilaporkan setiap hari. 



Meskipun jumlah kes baharu menampakkan penurunan, namun ia bukan petunjuk yang jelas bahawa penularan covid 19 ini akan segera berakhir. Bagi menambah keseriusan pandemik covid 19 ini, terdapat pula kes-kes yang menyebabkan kematian. 

Meskipun jika dilihat kepada statistik kematian, kita dapati lebih 80% adalah dari mereka yang berusia lanjut dan mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain, namun ia tetap menjadi igauan buruk kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya mereka yang kehilangan insan yang disayangi yang menjadi tempat bergantung. 

Pun begitu, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran covid 19 ini, peratusan kematian di Malaysia adalah yang terendah iaitu sebanyak 1.6 peratus berbanding 4.5 peratus kadar kematian global.

Secara umumnya tiada suara-suara sumbang yang terpacul keluar dari mana-mana pihak samada individu atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang penyambungan PKP kerana semua rakyat akur dan faham akan peri pentingnya keputusan ini diambil demi memutuskan rangkaian covid 19 yang kini meragut puluhan ribu nyawa manusia di seluruh dunia. 

Menamatkan PKP terlalu awal boleh dianggap sebagai memasang bom jangka yang akan meletup bila-bila masa dan akan mengorbankan lebih banyak nyawa. Justeru, pihak kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan membuat keputusan melanjutkan tempoh PKP sekali lagi sehingga 28.4.2020.


Meskipun tiada kedengaran jerit pekik dan protes atas keputusan kerajaan ini, namun pastinya akan kedengaran rintihan sayu yang menikam kalbu dari sebahagian masyarakat khususnya yang berada dalam kategori B40. Mereka ini ibarat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

Bagi golongan ini keputusan kerajaan memanjangkan tempoh PKP ibarat mencurah cuka di anggota yang luka. Pedihnya bukan kepalang. Dengan PKP ini mereka tidak dapat meneruskan aktiviti pekerjaan seperti kebiasaanya. Akibatnya mereka akan hilang punca pendapatan. Justeru, mereka amat-amat memerlukan bantuan yang beterusan demi kelangsungan hidup sepanjang PKP ini.

Meskipun pihak kerajaan dan juga NGO serta orang perseorangan telah pun menghulurkan bantuan seperti makanan dan keperluan asas, namun pada hakikatnya ia jauh dari mencukupi.

Justeru, sekali lagi pihak kerajaan perlu bersedia untuk mengambil langkah tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (PRIHATIN) yang lebih khusus kepada golongan B40 kerana mereka ini lebih hebat penderitaanya berbanding golongan M40.

Ini tidak bermakna pihak kerajaan perlu meminggirkan golongan M40, atau golongan usahawan khususnya dari kategori PKS, kerana mereka ini juga tetap terkesan dengan PKP ini, namun keutamaan mestilah diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan. 


Pihak kerajaan perlu meletakkan prioriti yang tepat kerana tidak selamanya kerajaan mampu memberikan bantuan berterusan kepada semua golongan. Dengan kejatuhan harga petroleum ke paras AS$32 setong, ia banyak menjejaskan ekonomi negara dan sekaligus menyusutkan pendapatan negara kerana negara bergantung sebanyak 30.9 peratus daripada pendapatan yang disumbangkan oleh hasil petroleum. 

Justeru kerajaan, mahu tidak mahu harus memilih hanya golongan-golongan yang tertentu untuk diberikan bantuan. Pastinya golongan B40 yang wajar diberikan perhatian yang lebih berbanding golongan lain. 


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Peranan Institusi Masjid Dalam Menangani Covid 19

Peranan Institusi Masjid Dalam Menangani Covid 19
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Sudah hampir sebulan rakyat Malaysia terpaksa ‘terperap’ di rumah akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan penularan pandemik covid-19. Sehingga kini masih belum nampak tanda yang jelas, pandemik ini akan berakhir setidak-tidaknya untuk beberapa tempoh akan datang ini. Kita bersyukur, kerana rata-rata rakyat Malaysia mematuhi PKP. Jika pun ada yang ‘degil’ jumlahnya tidaklah begitu membimbangkan. Dengan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa, jumlah mereka yang degil dilihat semakin berkurangan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus merasa bangga kerana rakyat Malaysia sebenarnya amat prihatin dan pemurah dan rela berkorban tenaga dan wang ringgit mereka untuk membantu mereka yang terkesan dengan PKP ini. Ramai orang persendirian yang turun padang membantu meringankan beban yang ditanggung oleh sebahagian penduduk dan ada yang melalui NGO. Mereka bertungkus lumus mengutip dana dan membeli barangan keperluan dan kemudian menghantar barangan tersebut ke penempatan-penempatan penduduk yang memerlukan.

Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya, di mana institusi masjid   dan apa peranan yang telah dimainkan dalam menghadapi covid 19 ini? Tidak dinafikan ada masjid-masjid yang telah menyumbang berbagai barangan keperluan kepada yang memerlukan, namun persoalannya berapa banyak yang disumbangkan? Apakah ia mencukupi? Apakah ia sepadan dengan jumlah kutipan dan wang yang masih berbaki dalam akaun?
Institusi masjid seharusnya menjadi penggerak dalam menghadapi cabaran yang dihadapi oleh negara serta rakyatnya. Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid sepatutnya turun padang, memulakan langkah mencari dan membantu ahli kariah yang memerlukan bantuan. Usah sayang dan kedekut untuk memberi infak dari wang yang dikutip setiap minggu kerana wang tersebut sememangnya untuk dibelanjakan dan bukan untuk dibanggakan dengan masjid-masjid lain kerana mempunyai kutipan paling tinggi. Itu bukan matlamat mereka yang memberi infak saban minggu. Pemberi infak tidak akan berbangga jika masjid ada wang simpanan ratusan ribu bahkan mungkin jutaan ringgit. Para Jemaah akan berbangga apabila semua wang yang dikutip dibelanjakan untuk tujuan yang murni seperti membantu meringankan kesengsaraan ahli kariah yang terkesan akibat covid 19 ini.
Saya berpeluang berbual melalui telefon dengan sahabat lama saya, semasa kami sama-sama bertugas di Maahad Tahfiz Pahang suatu ketika dahulu iaitu Dr Abdullah Ismail yang merupakan Pengerusi Masjid Temerloh Jaya (MTJ), masjid   yang dianugerahkan sebagai masjid cemerlang Negeri Pahang pada tahun 2019 oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Saya berjaya mengorek sedikit rahsia di sebalik kejayaan masjid di bawah kepimpinan beliau. Antara lain beliau menyebutkan bahawa MTJ tidak kedekut untuk berbelanja dan berinfak untuk keselesaan ahli jemaah dan sangat pro aktif membantu masyarakat sekitar termasuk mereka yang bukan Islam. Dalam menangani covid 19, pihak MTJ telah membelanjakan sekitar RM30,000 untuk membantu menyediakan makanan dan keperluan asas kepada 700 kelurga yang memerlukan. Wang tersebut adalah hasil sumbangan syarikat-syarikat perniagaan termasuk dari pemilik perniagaan bukan Islam serta orang perseorangan. Apa yang menarik, antara yang turut menyumbang adalah se orang ahli kariah yang berstatus OKU.
Beliau turut bersetuju bahawa antara isu yang membelenggu masjid-masjid di seluruh Malaysia ialah mereka ‘kedekut’ dan berkira-kira untuk berbelanja Menurut satu laporan akhbar, di Terengganu sebagai contoh terdapat masjid di negeri tersebut yang mempunyai simpanan tabung hasil sumbangan orang ramai mencecah hampir RM1 juta, namun tidak dibelanjakan untuk pembangunan masyarakat Islam. Fakta ini didedahkan sendiri oleh MAJLIS Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Sikap seperti ini perlu dikikis dari minda Pengerusi dan ahli jawatakuasa masjid. Mereka perlu faham bahawa wang yang disumbangkan oleh ahli jemaah saban minggu adalah untuk dibelanjakan bagi kegunaan masjid serta keselesaan ahli jemaah. Wang tersebut juga perlu digunakan bagi membantu mereka yang susah dan memerlukan khususnya dalam tempoh PKP ini. Fungsi masjid bukan hanya sekadar tempat beribadat dan penyebaran ilmu, tetapi juga harus menjadi pusat penyelesai masalah kepada masyarakat setempat.
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan