Tuesday, March 13, 2012

Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mahsyar





Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mahsyar.

Hari yang Pasti Terjadi

Gambaran Hari Qiamat 


Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri. 


Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati. 


Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi. 


Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih. 


Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak merasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak. 


Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka. 


Firman Allah di dalam Al Quran:


"يوم يفر المرء من أخيه وأمه وأبيه وصاحبته وبنيه لكل أمرئ منهم يومئذ شأن يغنيه"


"Pada hari itu (hari qiamat) akan lari dari saudara maranya, ibunya, bapanya, isterinya dan anaknya. Setiap orang sibuk dengan urusannya sendiri"
[عبس:34-37]


Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat. 


Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan. 


Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik pada hari Kiamat nescaya seluruh bumi akan terbakar, bukit-bukau akan hancur lebur  dan sungai serta lautan akan  menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun. 


Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya nescaya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga. 


Semua makhluk berada di bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah: 


1) Pemimpin yang adil. 


2) Orang muda yang taat kepada perintah Allah. 


3) Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid. 


4) Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah. 


5) Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah". 


6) Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai). 


7) Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah. 


Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. 


Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan. 


Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda. 
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi. 


 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat. 


Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin di tengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana. 


Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin. 


Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan. 


Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara yang berkaitan dengan pertumpahan darah. 


Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin. 


Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.  Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW  


Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang. 


Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada lagi dolak-dalik, tiada lagi sebarang penipuan. Semua manusia dan jin akan diadili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana. 


Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat. 


Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat : 


* Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab. 


* Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab. 


* Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. 


(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.) 


Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain. 


Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya. 


Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya. 


Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka. 


Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004. 


Jika sekiranya sahabat  ingin menambah  saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat-sahabat  yang lain.  Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama : 
1) Sedekah/amal jariahnya. 
2) Doa anak²nya yang soleh. 
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.





Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia


Makalah asal ehsan dari : http://baihaqi.net/index.php?option=com_content&view=article&id=273:dahsyatnya-hari-kiamat-dan-padang-mahsyar&catid=35:bacaan - jazahullah khairal jazaa'.

Sunday, September 11, 2011

APLIKASI SIFAT-SIFAT KENABIAN DI DALAM URUSAN KEHIDUPAN HARIAN SE ORANG MUSLIM

Para Nabi dan Rasul  diutuskan oleh Allah s.w.t dari kalangan insan-insan terpilih dari kalangan manusia bagi menyampaikan risalahNya di atas muka bumi ini. Para Nabi dan Rasul  adalah qudwah atau ikutan yang baik kepada setiap ummah. Ini kerana para Nabi dan Rasul adalah insan-insan yang dibimbing secara terus oleh Allah dan dijamin berada di jalan yang benar dan jauh sekali dari segala bentuk penyelewengan.  Justeru mereka adalah insan-insan  yang paling tepat untuk dijadikan contoh tauladan ataupun sebagai role model.
Para Nabi dan Rasul mengajar umat manusia agar  kembali kepada fitrah iaitu kembali kepada sifat-sifat asal manusia yang mana  sifat ketauhidan kepada Allah sudah wujud dalam jiwa mereka sejak azali lagi.  Al Quran dengan jelas menyebutkan bahawa Nabi s.a.w adalah sebagai contoh yang terbaik bagi ummat manusia. Firman Allah yang bermaksud:
 "Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah …" (Surah al-Ahzab: Ayat 21).

Para Nabi dan Rasul berdasarkan ayat di atas, ternyata boleh dijadikan sebagai ikutan dalam semua jurusan kehidupan. Justeru sifat-sifat yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul seharusnya turut dijadikan contoh bagi setiap insan yang impikan kejayaan di dalam hidup mereka di dunia dan di akhirat.
Sifat-sifat wajib pada anbia’ (SIFAT)

1)     Sidq (الصدق)

Sidq atau benar dari sudut bahasa ialah suatu yang menepati kebenaran atau dalam erti kata lain apa yang zahir menyerupai batin atau di dalam hati. Jika diambil dari konteks khabar atau berita, khabar yang benar (sidq) adalah suatu khabar yang menepati  apa yang sebenarnya berlaku. Dalam konteks kerja, apa yang dilaporkan adalah bertepatan dengan apa yang sebenarnya dilakukan. Dari sudut praktikalnya pula, kualiti kerja tetap sama samada majikan ada bersama atau sebaliknya. Sifat yang berlawanan dengan sifat sidq ini adalah sifat kizb atau dusta. Dusta adalah salah satu dari sifat munafiq sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w:

يقول النبي صلى الله عليه وسلم: (آية المنافق ثلاث: إذا حدَّث كذب، وإذا وعد أخلف، وإذا ائتمن خان) [متفق عليه].
“Tanda munafiq itu ada tiga: Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan bila diberi amanah, dia mengkhiantinya”

Memiliki sifat benar atau sidq adalah satu kemestian bagi setiap individu muslim. Ini kerana sifat benar akan membawa ketenangan dan ketenteraman kepada setiap insan yang memilikinya. Sabda Nabi s.aw:

  دع مايريبك إلى مالا يريبك ؛ فإن الصدق طمأنينة والكذب ريب
“Tinggalkan apa yang meragui kamu dan buatlah apa yang tidak meragui kamu kerana sifat benar itu membawa kepada ketenangan manakala sifat dusta itu akan membawa kepada kesangsian”

Sifat benar juga akan menarik lebih banyak kebajikan dan kebaikan bagi diri pemilik sifat tersebut. Ini digambarkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadith baginda:  
   
إن الصدق يهدي إلى البر وإن البر يهدي إلى الجنة، وإن الرجل ليصدق حتى يكتب عند الله صديقا، وإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وإن الرجل ليكذب حتى يكتب عند الله كذاب ) متفق عليه

“Sesungguhnya kebenaran itu akan membawa kepada kebajikan, dan kebajikan itu akan membawa kepada syurga. Seseorang lelaki itu akan berlaku benar sehingga Allah mencatatnya sebagai se orang yang benar di sisi Allah. Manakala dusta pula akan membawa kepada dosa dan dosa itu membawa kepada neraka. Sesungguhnya se orang lelaki itu akan terus berdusta sehingga Allah catatkan dia sebagai se orang pendusta di sisi Allah”

Justeru sifat sidq atau benar ini perlulah dihayati di dalam setiap aspek kehidupan. Benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, serta matlamat.

2)     Fatanah (فطانة)

 Sifat fatanah atau kebijaksanaan adalah satu satu dari sifat wajib bagi Nabi. Apa yang dimaksudkan dengan fatanah ialah kemampuan untuk memahami persoalan-persoalan yang dihadapi dengan jelas dan terang. Sifat fatanah adalah satu sifat yang amat luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul yang tidak diberikan kepada hamba-hamba Allah yang lain.
Di dalam Al Quran Allah berfirman:

“ولقد آتينا إبراهيم رشده من قبل وكنا به عالمين} [الأنبياء: 51

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

Dengan adanya sifat fatanah, maka para Nabi dan Rasul dapat memahami dengan tepat kandungan wahyu dari Allah dan seterusnya dapat pula disampaikan kepada umat mereka.

Di dalam ayat yang  lain Allah s.w.t berfirman:

وتلك حجتنا آتيناها إبراهيم على قومه نرفع درجات من نشاء إن ربك حكيم عليم} [الأنعام: 83

“Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.”

Allah s.w.t juga menggambarkan kebijaksanaan Nabi Ibrhaim a.s ketika berhadapan dengan Namrud di dalam ayat berikut:

قال الله تعالى في شأن ذلك: {ألم تر إلى الذي حاج إبراهيم في ربّه أن آتاه الله الملك، إذ قال إبراهيم ربي الذي يحي ويميت قال أنا أُحي وأميت قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من المشرق فأت بها من المغرب فبهت الذي كفر والله لا يهدي القوم الظالمين} [البقرة: 258

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Adalah mustahil  bagi para Nabi mempunyai sifat yang berlawanan dengan sifat fatanah ini seperti sifat bodoh, dungu dan sebagainya. Ini kerana adalah mustahil se orang Nabi atau Rasul itu dapat mendekati dan menyampaikan dakwah dan risalah Allah jika para Nabi dan Rasul mempunyai sifat-sifat yang aib pada pandangan masyarakat.
Sifat yang sama perlu dimiliki oleh setiap Muslim kerana ianya merupakan  salah satu kriteria yang perlu dalam  mempertahankan kebenaran agama, melaksanakan segala tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sebagai manusia yang diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah di atas muka bumi ini, se orang  Muslim mesti mempunyai sifat  “fatanah” dalam semua urusan hidupnya, termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya dan lain-lain urusan kehidupannya.

3. Amanah (الأمانة)

Amanah adalah salah satu sifat yang penting bagi para Nabi dan Rasul. Nabi dan Rasul sentiasa berlaku amanah dalam menyampaikan wahyu dari  Allah s.w.t tanpa sebarang penyelewengan, pengurangan, penambahan dan pertukaran.
Adalah mustahil bagi para Nabi dan Rasul memiliki sifat yang bertentangan dengan sifat ini iaitu sifat dusta kerana ianya bertentangan sama sekali dengan sifat-sifat kenabian. Para Nabi dan Rasul sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada mereka  iaitu menyampaikan dakwah dan nasihat kepada kaum mereka.
Sifat yang sama perlu dimiliki oleh setiap Muslim dalam melaksanakan tugasan mereka seharian. Namun amanah adalah satu sifat yang amat sukar untuk dimiliki kerana ianya satu tanggungjawab yang amat berat. Firman Allah di dalam  ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami bentangkan  AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);

    Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;

    Dalam tafsir-tafsir “amanah” itu merujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama; seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan;

4. Tabligh (التبليغ)

Tabligh atau  menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah juga merupakan salah satu dari sifat yang wajib bagi Nabi dan Rasul.
Firman Allah Taala:

: {الذين يبلغون رسالات الله ويخشونه ولا يخشون أحداً إلا الله وكفى بالله حسيباً} [الأحزاب:

(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).

Jika para Nabi dan Rasul memiliki sifat Tabligh ini, maka umat Islam juga perlu melaksanakan tugas para anbia’ ini. Tugas ini ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya.

Tabligh boleh dilaksanakan di dalam zaman teknologi maklumat. Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Thursday, September 8, 2011

PELUANG KEEMASAN UNTUK ANAK-ANAK ANDA HAFAZ AL QURAN



Untuk paparan yang lebih jelas, sila download image di atas. Dan jika ada sebarang kemusykilan boleh juga menghubungi saya. Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis, Ketua Jabatan Ilmu Wahyu dan Bahasa, Maahad Tahfiz Negeri Pahang. +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia