Monday, August 6, 2018

JIKA ANDA INGIN BERPOLIGAMI ‘PERSETANKAN’ PANDANGAN ORANG LAIN


TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI

SIRI KE 11

OLEHDR NIK RAHIM NIK WAJISPESYARAH KANAN, FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM

(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)


JIKA ANDA INGIN BERPOLIGAMI ‘PERSETANKAN’ PANDANGAN ORANG LAIN

Pernikahan adalah sesuatu yang fitrah atau semula jadi. Bernikah lagi atau berpoligami pun masih lagi berada dalam lingkungan fitrah. Keinginan berpoligami bukan suatu yang asing bagi se orang lelaki.  Samada mampu atau tidak, berjaya atau sebaliknya ia bukan isu. Isu utama ia adalah fitrah. 

Jadi usah anda merasa bersalah kepada diri sendiri, kepada isteri atau kepada siapa sahaja jika tiba-tiba anda terasa keinginan untuk berpoligami melonjak-lonjak dalam diri kerana ia adalah suatu yang fitrah. Jika anda se orang yang mampu dan yakin boleh berlaku adil maka anda salurkan keinginan yang membuak itu melalui saluran yang sepatutnya. Jangan biarkan diri anda berada dalam keadaan tertekan. Anda harus mencari jalan untuk bebaskan diri anda dari segala belenggu yang menghalang anda dari berpoligami. 

Tapi awas! Jangan pula anda terlalu ‘gelojoh’ dan tergopoh gapah. Jangan ‘asal kawin’ saja. Jangan pakai tangkap muat saja. Anda harus berhati-hati memilih jodoh anda yang kedua, ketiga atau keempat. Kata orang biarlah ‘berbaloi’ untuk berpoligami sebab anda terpaksa mengharungi beraneka ragam cabaran bila berkahwin nanti. Cari calon yang ‘worth fighting for’. Calon yang anda benar-benar berbaloi untuk anda perjuangkan. Bahkan anda harus mencari calon yang ‘lebih baik’ dari isteri anda yang anda miliki sekarang.

 Inilah yang dikatakan berbaloi. Kalau anda kawin dengan isteri yang kedua yang ciri-ciri yang ada padanya kurang dari yang pertama, bagi saya ianya tidak berbaloi. Ini tidak bermaksud anda merendahkan isteri pertama anda kerana anda tidak harus bahkan bagi saya HARAM anda mendedahkan keaiban isteri pertama anda hanya kerana ingin meraih simpati atau menjadikan umpan pemikat isteri kedua anda. Jangan! Saya ulangi, jangan sekali-kali dedahkan keaiban dan kekurangan isteri anda yang pertama hanya kerana mahu berkahwin dengan isteri kedua kerana nanti Allah akan dedahkan keaiban anda di mata dunia!

Bila saya beritahu kepada bakal isteri kedua saya bahawa saya ingin melamarnya sebagai isteri kedua saya, saya sebutkan dengan jelas bahawa saya sayang isteri saya, anak-anak saya dan saya tiada apa-apa masalah dengan mereka. Saya ingin berkahwin lagi adalah kerana saya memerlukan se orang lagi isteri dan bukan kerana kelemahan atau kekurangan yang ada pada isteri yang pertama. Berikan sebab-sebab yang ‘genuine’ bukan sebab-sebab yang direka.

Be gentleman! Serlahkan kehebatanmu! Jika anda benar-benar ingin memikat bakal isteri kedua anda, maka anda harus perlihatkan kehebatan anda dari semua sudut. Ya, mungkin fizikal anda tidak lagi menarik. Perut pun sudah boroi. Rambut pula sudah bertukar warna. Berjalan pun ‘alignment’ sudah lari, namun pastinya ada kelebihan-kelebihan lain yang boleh anda tonjolkan bagi meyakinkan bakal isteri kedua anda untuk menerima anda meskipun secara zahirnya anda ‘tidak layak’ untuk berpoligami dari sudut kacamata orang lain. Orang lain tidak perlu. Anda hanya perlu meyakinkan bakal isteri yang bakal anda kahwini.

 ‘Persetankan’ pandangan orang lain. Yang bagusnya orang perempuan pada kebiasaannya tidak begitu ambil kisah tentang penampilan anda. Walaupun anda sudah bertongkat, perut pula buncit seperti wanita mengandung 7 bulan, kepala pula botak berkilat, bagi wanita anda tetap memikat asal saja anda sesuatu yang boleh ditawarkan kepadanya antaranya sudah pasti dari sudut ‘kewangan’. Ini boleh dikira sebagai penarik nombor satu kepada wanita. 

Orang perempuan boleh pejam mata kekurangan-kekurangan yang ada pada anda asal saja poket anda penuh. Apatah lagi anda pula punyai akhlak yang baik, pandai mengambil hati dan tidak sombong serta warak pula.  Wanita perlu perlindungan dan jaminan dalam kehidupan mereka. Kita tidak boleh menyalahkan mereka. Tapi awas! Jangan anda tersalah pilih. Jangan pula anda terjebak dengan wanita ‘pisau cukur’ kerana anda pasti akan merana sepanjang hidup. 

Hari ini kita lihat ramai wanita-wanita cantik yang mengahwini lelaki-lelaki yang sudah boleh dianggap datuk kepada mereka. Jika diselidik, pastinya kebanyakan lelaki-lelaki bertuah itu adalah dari kalangan hartawan. Usah iri hati. Itu rezeki mereka yang Allah tentukan. Jika anda tidak sehebat hartawan, anda masih lagi berpeluang untuk berpoligami. 

Anda tidak semestinya kaya raya untuk berpoligami. Saya hanya se orang pensyarah di universiti. Gaji saya pun tak seberapa tapi Alhamdulillah, Allah masih beri saya peluang untuk berpoligami meskipun isteri-isteri saya mengetahui bahawa kewangan saya tidak sekukuh mana. Namun Allah membuka hati mereka untuk   melihat kelebihan saya dari sudut-sudut lain. Ya, tiada manusia yang sempurna. Jika kita ada kelebihan dari sudut tertentu, kita mungkin kurang dari sudut-sudut yang lain. Redhalah dengan apa yang dikurniakan Allah pada kita. 


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Sunday, August 5, 2018

Bagaimana Untuk Mengetahui Bahawa Isteri Anda Bersedia Untuk Dimadu?

Bagaimana Untuk Mengetahui Bahawa Isteri Anda Bersedia Untuk Dimadu? 

Anda lebih tahu tentang isteri anda. Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka. Isteri adalah insan yang paling akrab dengan anda. Anda kenal dia, dia juga kenal anda. “Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya”. Demikianlah akrabnya anda dan pasangan. Jadi untuk mengetahui samada isteri anda sudah bersedia atau sebaliknya terpulang kepada anda untuk membuat eksperimen.

Ada orang yang beraninya amat luar biasa. Tiada kiasan tiada selindung. Orang putih kata ‘straight to the point’. Kalau anda dari kategori ini, ayuh silakan sebab anda kenal diri anda dan kekuatan anda serta isteri anda. Tapi kaedah ini bukan semua orang boleh melakukannya. Jika anda se orang yang lemah lembut dan emosi pula sukar dikawal sebaiknya jangan gunakan kaedah ini kerana anda tidak pasti bagaimana reaksi isteri anda. Jika anda pasti isteri anda se orang yang mampu mengawal emosinya dan anda juga sanggup berhadapan dengan pelbagai kemungkinan setelah mendengar pengakuan anda untuk bernikah lagi, maka lakukan. Bismillah!

Di saat anda luahkan hasrat anda, berbagai kemungkinan akan berlaku dan ini banyak bergantung kepada sifat dan kekuatan mental dan emosi isteri anda. Mungkin ada yang buat acuh tak acuh saja sebab isteri anda tahu bahawa anda memang tak mampu untuk berpoligami. Dah lah ada ‘slip disc’, setiap minggu kena pergi hospital buat rawatan jantung, keadaan ekonomi pula teruk, maka isteri anda tidak akan mengambil pusing tentang kata-kata anda. Isteri menggangap anda hanya ‘bluffing’ dan hanya bergurau senda bagi mengeratkan lagi kasih sayang yang telah terbina sekian lama.

Ada juga yang tidak memberi apa-apa reaksi kepada anda. Isteri anda seakan tidak dengar apa yang anda katakan. Mungkin juga kerana isteri anda yakin anda hanya bergurau walaupun anda memang mempunyai kemampuan dari sudut fizikal dan kewangan tetapi anda tiada masalah dengan isteri anda dan anda bahagia bersamanya. Bahkan anda pernah berjanji bahawa anda tidak akan berkahwin lain. Saya mempunyai sahabat sebegini. Meskipun mendengar kawan-kawan lain  ‘galak’ bercerita pasal poligami, kawan saya ini tidak memperlihatkan minatnya dengan tajuk ‘panas’ kebanyakan lelaki ini. “Cukuplah se orang. Saya bahagia Sekarang” ujar sahabat saya bila saya ‘acah’ dia dengan soalan berkaitan poligami.

Ada isteri yang tidak memberi sebarang respon kepada perkataan anda, tetapi jauh di dalam hatinya menyimpan perasaan amarah dan benci dengan perkataan ‘poligami’ yang anda luahkan. Tetapi oleh kerana ‘takut’ atau hormat pada suaminya, maka dia memendam perasaan marah tanpa memperlihatkan riak di wajahnya.

Ada isteri yang terus ‘melompat’ apabila anda meluahkan perasaan untuk berpoligami. Tapi kerana hormatkan anda dan mungkin masih sayangkan anda, tindakan isteri anda tidaklah begitu melampau. Mungkin isteri anda akan menyisihkan diri untuk beberapa ketika kemudian kembali seperti sediakala. Jika anda punya isteri jenis ini, anda ada peluang yang cerah untuk mencuba lebih serius utuk berpoligami kerana isteri anda bukan jenis yang sangat agresif. Jika dipujuk rayu dan diberi penerangan secara konsisten dan jaminan bahawa anda akan menjaga kebajikannya, insya Allah isteri anda boleh menerimanya walaupun dengan hati yang amat berat kerana dia tahu, anda akan tetap berpoligami walaupun isteri anda menentangnya.

Ada juga isteri yang sangat agresif lagi pembengis. Muka menyinga sebaik saja anda maklumkan bahawa anda akan berkahwin lagi. “Langkah mayat saya dulu abang kalau nak kawin lain. Apa kurangnya saya bang. Dah 20 tahun saya jaga abang, saya sedia makan minum abang, saya layan abang dengan baik, saya beri abang anak 9 orang. Apa lagi yang abang mahu? Jerit Puan Munah kepada suaminya En Ali. Ini salah satu senario yang kerap berlaku bila suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi atau ada khabar angin yang didengar oleh si isteri. 

Jika ini jenis isteri yang anda miliki, pohon maaf tuan. Anda tidak layak untuk berpoligami. Kecuali anda mengambil keputusan yang drastik untuk menceraikan isteri anda. Bagi saya ini bukan satu cara yang matang dan bijak. “Usah musnahkan istana yang telah dibina sekian lama dibina untuk membina istana yang baru yang belum tentu akan berdiri teguh selamanya”. 

Ada suami yang nekad untuk berpoligami kerana sering dicabar oleh isterinya. “Kalau abang degil juga nak kawin, kawinlah tapi ceraikan saya” Herdik Puan Munah lagi. Apapun  ia terpulang kepada individu tersebut untuk menetukan jalan hidupnya. Cuma nasihat saya jika rumahtangga anda tiada masalah dan anda bahagia bersama isteri dan anak-anak anda, maka adalah lebih baik anda terus kekal bersama isteri anda. Jangan Jadikan alasan isteri telah tua maka anda berpoligami apatah lagi kalau perkahwinan tersebut membawa kepada perceraian kerana perkahwinan bukan hanya ketika muda. Perkahwinan adalah untuk sepanjang hayat. 

Ada isteri yang amat luar biasa. Belum lagi anda bersuara, dia pula yang lebih-lebih menawarkan anda berpoligami. Mungkin melihat kepada kemampuan anda atau simpati dengan susah payah yang dilalui oleh suami ditambah pula dengan keyakinan yang menebal bahawa se orang wanita tidak harus ‘tamak’ dalam perkahwinan. ‘Tamak’ di sini bermaksud merasakan bahawa suaminya adalah suaminya dan tak mungkin dikongsi dengan orang lain. 

Saya ada se orang sahabat yang berpoligami dengan cara yang amat harmoni. Isteri beliau yang tolong carikan isteri buat suaminya. “Saya cadang abang kawinlah sorang lagi dekat tempat abang kerja di Pahang. Saya kesihan tengok abang berulang alik setiap minggu ke Johor. Di sana tak ada siapa yang jaga abang.” Bisik Puan Hamidah (bukan nama sebenar) kepada suaminya En Ahmad (bukan nama sebenar). En Ahmad terpinga-pinga mendengar kata-kata isteri yang sangat disayanginya. Bukan tak ada niat untuk berkahwin setelah lebih 10 tahun berulang alik dari Pahang ke Johor. Tapi En Ahmad risau jika dia berkahwin lagi maka ia akan merenggangkan hubungan mereka suami isteri. Beliau menarik nafas lega bila isterinya sendiri yang menawarkan buatnya untuk berpoligami. “Tapi abang pilihlah perempuan yang saya kenal hati budinya supaya senang berurusan nanti” pesan Puan Hamidah. “Saya cadang abang kawin dengan Hayati (bukan nama sebenar) yang pernah kerja dengan abang dulu. Budak tu saya tengok baik sangat. Lemah lembut, akhlak pun bagus, kerja pun cekap” Tambah puan Hamidah. Pucuk dicita ulam mendatang. 

Memang Hayati inilah yang sering bermain di fikiran En Ahmad sejak sekian lama namun sukar sekali untuk beliau suarakan keinginannya kepada isterinya Puan Hamidah. Dipendekkan cerita, akhirnya En Ahmad melangsungkan perkahwinan dengan Hayati dan mereka hidup bahagia sehingga ke hari ini. Apa yang sangat menakjubkan, Puan Hamidah, isteri pertama En Ahmad yang pergi meminang dan menguruskan segala perkara berkaitan majlis pernikahan suaminya.

Jika ini jenis isteri yang anda miliki, bersyukurlah kerana anda sememangnya sudah ditakdirkan untuk berpoligami.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Friday, August 3, 2018

POLIGAMI: TAKDIR ATAU SUAMI YANG MENGGATAL?

POLIGAMI: TAKDIR ATAU SUAMI YANG MENGGATAL?

Salam Poligami buat semua sahabat pembaca yang dikasihi. Jutaan kemaafan kerana agak lama menyepi diri. Beberapa hari yang lepas agak sibuk dengan berbagai program universiti dan juga jamaah. Alhamdulillah, hari ini saya sambung kembali sembang-sembang poligami kita.

Tajuk yang dipihih kali ini agak sedikit 'kasar'. Tapi tidak mengapa sebab tajuknya tidaklah kasar sangat. Biasa-biasa saja. :)

Ramai isteri akan marah dan naik angin sampai ke otak bila suami bagitau nak kawin lagi. Bila kita kata kawin ni suatu yang telah ditakdirkan, maka isteri akan pantas menjawab. "Dah awak tu yang menggatal....".

Jadi untuk menjawab serangan tersebut saya bawa kisah di bawah ini....selamat menghayati! :)


Saya bagi contoh yang mudah. Se orang ustaz sering mengajar di masjid dan surau. Memang ustaz dan para tok guru ‘saham’ mereka agak tinggi setaraf dengan orang korporat. Sebab itu ramai wanita takut nak kawin dengan para ustaz kerana mereka amat bimbang suami mereka bernikah lagi!

Baik, ustaz ini memang tiada langsung niat untuk berpoligami sebab katanya dia tidak mampu. Pendapatan pun sekadar cukup untuk satu keluarga. Lagipun kata ustaz ini, se orang isteri sudah mencukupi. Isterinya melayannya dengan baik dan beliau sangat menyayangi isterinya itu. Beliau khuatir jika bernikah lagi, akan terguris lukalah hati isterinya. 

Lalu dari sejak mula bernikah, beliau tutup hatinya rapat-rapat meskipun sering saja dihampiri oleh ahli jamaah wanita yang ingin menjadi isteri beliau. “Saya tak kisah ustaz saya jadi isteri ke berapa pun. Asal saja ustaz sudi jadi suami saya” kata Wani (bukan nama sebenar) tanpa segan dan malu menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada Ustaz Wan (bukan nama sebenar) meskipun beliau tau bahawa Ustaz Wan memang sudah beristeri dan mempunyai 2 orang anak. “Ustaz tak payah fikir pasal belanja. Saya dah ada semuanya. Rumah, kereta dan lain-lain. Saya juga ada bisnes. Nanti kalau ustaz setuju, kita sama-sama uruskan bisnes ni. Sekarang payah nak dapat orang yang amanah ustaz.” Luah Wani bagi meyakinkan Ustaz Wan tentang hasrat hatinya.

Kata-kata itu sentiasa tergiang-giang di kepalanya. Memang Ustaz Wan tidak mudah tergoda. Meskipun telah berkali-kali didekati oleh wanita-wanita cantik dan kaya sebelum ini, namun hatinya tetap teguh. Seteguh gunung Kinabalu. Namun kali ini, kelihatan Ustaz Wan merasa begitu sukar untuk melupai pertemuan pertama mereka sebaik selesai kuliah Subuh di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Memang Ustaz Wan akan melayan pertanyaan ahli jamaah yang ingin bertanya sebaik saja usai kuliahnya.

Jiwa Ustaz Wan jadi gelisah dan serba salah. Memang dia risau isterinya akan berkecil hati dengannya jika dia bernikah lagi. Tapi nalurinya seakan mendesaknya untuk menerima Wani sebagai isteri keduanya. Akhirnya, hati Ustaz Wan seakan terbuka. Dia redha dan pasrah. Mungkin ini sudah suratan buatnya. Lalu dia beristikharah seperti biasa. Bukan satu malam, tapi tujuh malam berturut-turut melakukan solat istikharah dan solat hajat memohon pertunjuk dari Yang Maha Esa.
 “Ya Allah, aku tidak tahu samada Wani ini baik untuk aku, untuk keluarga aku, untuk kehidupan aku di dunia dan akhirat. Ya ! Allah jika Wani ini baik untuk aku, jadikanlah dia isteriku dan jika dia tidak baik buatku, keluargaku dan kehidupan dunia dan akhiratku, maka jauhi dia diriku”.
Demikian bait-bait doa yang dilahirkan oleh Ustaz Wan saban malam. Mungkin benar telahan Ustaz Wan bahawa jodohnya  dan Wani sememangnya telah tertulis di azali meskipun dia sedaya upaya mencuba untuk tidak melakukannya. Akhirnya mereka bernikah. Isteri pertamanya, meskipun agak terkejut dan sukar menerima hasrat hati Ustaz Wan untuk bernikah lagi akhirnya akur dengan kehendak Ustaz Wan. “Sayang jangan risau. Tidak ada yang berubah. Abang akan tetap sayang pada Wati dan anak-anak macam biasa. Kalaupun ada perubahan hanya giliran malam saja”. Tegas Ustaz Wan kepada isterinya Wati.

Wah! Panjang juga cerita Ustaz Wan ni ya? Baik! Saya sengaja membawa kisah ini bagi menggambarkan senario yang mungkin telah berlaku dan akan berlaku kepada ramai lelaki di luar sana. Jadi ‘mahu’ bernikah dan berpoligami saja bukan jaminan untuk seseorang itu berjaya berpoligami. Ia hanya akan berlaku sekiranya kemahuan dan keinginan seseorang itu bertepatan dengan kehendak dan keinginan Allah Yang Maha Esa. Macam saya! Saya memang mahu dan kebetulan Allah juga mahu. Maka berlakulah apa yang berlaku.

Sedikit perkongsian dari saya. Ini real story. Saya bernikah dengan isteri saya yang kedua selepas 20 tahun saya bernikah dengan isteri saya yang pertama. Kenapa begitu? Apakah saya tidak berusaha? Jawapannya ya! Saya berusaha. Tapi ianya tidak akan berlaku sehingga Allah izinkan ia berlaku dan ia berlaku setelah 20 tahun. Mungkin juga saya tidak punyai sebab yang kukuh untuk bernikah. 

Saya menyayangi isteri dan anak-anak saya. Saya bernikah pun bukan kerana kekurangan-kekurangan yang ada pada isteri saya, tapi saya sendiri yang memerlukan lebih dari satu isteri. Kini saya mempunyai 3 orang isteri Alhamdulillah. Yang keempat? Saya serah kepada Allah. Untuk mencari mungkin tidak. Tapi kalau ada yang datang menawarkan diri seperti yang berlaku di dalam kisah Ustaz Wan yang diceritakan sebelum ini, saya pasrah. Siapa kita untuk menolak takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Berkuasa di atas segalanya. 

Lagipun arwah datuk saya mempunyai empat orang isteri, jadi bukan suatu yang asing jika saya ‘menurun’ arwah datuk saya. Sekali lagi saya ulang, mencari mungkin tidak, tetapi jika ditakdirkan saya dianugerahkan Allah isteri yang keempat bagi memenuhi kouta yang ada, saya pasrah!

Jadi sebagai kesimpulan bagi tajuk di atas, maka adalah menjadi tugas anda sebagai suami untuk mengenali sifat isteri anda dan ditahap mana isteri anda berada. Adakah isteri anda berada di peringkat paling ekstrim di mana jika anda sebut perkataan ‘poligami’ sahaja di depannya maka isteri anda akan terus bertukar sifat menjadi ‘harimau jadian’ dan akan menerkam anda dengan buas tanpa belas kasihan? Jika ini sifat isteri anda, nasihat ikhlas saya, lupakan niat anda untuk berpoligami. Anda sememangnya ditakdirkan bermonogami sehingga ke akhir hayat. Redhalah dengan ketentuan Allah ini. Mungkin poligami tidak baik untuk anda meskipun anda bermimpi berpoligami pada setiap malam semasa berada di sisi isteri pertama anda. Isteri anda adalah satu-satunya isteri anda dunia dan akhirat insya Allah.


Usah rosakkan rumahtangga yang anda bina hanya kerana anda ingin ‘tunjuk hero’ dengan cara berpoligami. Usah terpedaya dengan kawan-kawan anda yang lebih miskin dan rendah kedudukannya dari anda kerana isteri mereka tidak sama dengan isteri anda. Jagalah isteri anda dengan baik. 

Saya amat tidak bersetuju dengan lelaki yang menceraikan isteri pertamanya hanya kerana mahu berkahwin lain. Saya juga amat menentang keras mereka yang sanggup menceraikan isterinya hanya kerana isteri pertamanya enggan membenarkannya berkahwin lagi. Kecualilah anda memang ada masalah dengan isteri pertama. Lalu anda jalinkan hubungan dengan wanita lain dengan niat yang tulus ikhlas untuk mengahwininya. 
Tapi malang, bila diberitahu kepada si isteri, isteri naik angin dan menentang sekeras-kerasnya hasrat anda. Dalam keadaan ini pilihan di tangan anda samada untuk meneruskan hasrat menikahi wanita yang baru anda kenali atau teruskan sisa-sisa hidup dengan isteri anda yang berupa ‘harimau jadian’.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan